Sayu Guru KAFA dan Guru Jawi alQuran maut tragis kemalangan ngeri di Gemas
19:36TAMPIN : Seorang guru Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) dan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) antara enam mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta di Kilometer 7, Jalan Gemas-Tampin berhampiran simpang ke Pasir Besar di Gemas dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Md. Dali Wahid berkata, dalam kemalangan pada kira-kira pukul 11.30 malam itu, empat orang yang lain termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun turut maut manakala dua orang cedera parah dan seorang cedera.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta jenis Produa Kenari yang juga guru J-QAF di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemas, Roslilah Maamor, 40, dan anak lelakinya Fawwaz Ahmad Syahraizan berusia sembilan tahun.
Menurutnya, empat mangsa yang lain ialah pemandu kereta Proton Wira,Muhamad Hazreen Saadon, 22, yang juga guru KAFA dan tiga penumpangnya, Mohamad Haizal Mohamad Radzi, 20; Muhammad Muaz Mohamad, 13, dan Muhamad Rizuwan Abdullah, 19.
Dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga yang lain meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor dan seorang di Hospital Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Mangsa yang cedera parah ialah dua penumpang Wira iaitu Mohd. Naimullah Che Roselee, 13, dan Muhammad Aiman Abdullah, 14, manakala suami Roslilah, Ahmad Syahraizan Omarudin, 40, yang memandu sebuah kereta Toyota Avanza mengalami kecederaan di tangan dan kepala, katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Wira dari arah Gemas menghala ke Tampin gagal mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Kenari.
Akibat daripada rempuhan itu, jelasnya, kereta Kenari tercampak ke bahu kiri jalan manakala kereta Wira bertembung pula dengan Avanza yang mengekori Kenari.
Roslilah bersama anaknya dalam perjalanan pulang dari Sungai Kelamah menghala balik ke rumahnya di Gemas sementara suaminya yang juga Imam Masjid Jamek Gemas mengekorinya dari belakang, ujarnya.
Md. Dali berkata, Mohd. Naimullah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tampin, manakala Muhammad Aiman yang mengalami kecederaan di kepala dirawat di Hospital Segamat.
Katanya, tiga mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin dan tiga lagi mayat ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.
Keadaan jalan di lokasi kejadian berselekoh dari arah Gemas dengan sistem jalan dua hala dan garisan tengah pembahagi jalan berkembar, katanya. -Utusan
Sumber: ceritagempakkomuniti
–> Klik jika rasa post ini patut dibuang
Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih
0 comments