Abah Minta Maaf Kalau Pernah Terpukul Akif Tanpa Sengaja

06:44

2cEqJ3o

Kisah ini saya simpan hampir 10 tahun untuk dikongsi kerana mungkin saya tidak mempunyai kekuatan untuk menulis sebelum ini. Saya harap apa yang saya kongsikan ini akan dijadikan sebagai iktibar untuk kita bersama-sama muhasabah diri.

HARI KEJADIAN 14 SEPTEMBER 2006

Jam 8 pagi, saya melakukan rutin harian menghantar anak syurga saya yang bernama Aiman Akif, 5, ke sekolah ABIM. Pagi itu dia agak gembira, berbeza dengan hari-hari yang dilalui sebelum ini.

Keluar dari rumah dengan berpakaian putih dan songkok hijaunya, terus menyanyikan lagi dari kumpulan V.E yang agak popular pada masa itu, Pop Yeah Yeah.

Hari itu, saya tak tahu mengapa saya sentiasa rasa gelisah dan rasa rindu sangat-sangat pada arwah ini. Tidak dapat saya bayangkan rindunya bagaimana tetapi memang rasa seperti tidak sabar mahu membawanya pulang.

Untuk pengetahuan semua, selepas kelas ABIM, anak saya akan diambil oleh van sekolah untuk dihantar ke rumah pengasuh yang berada di kawasan berdekatan. Di kawasan rumah pengasuh ini juga ada kolam renang. Anak saya ini pula baru dijaga oleh pengasuh baru 10 hari begitu.

Pada waktu Zohor, saya terus balik ke rumah dan bercadang mahu mengambil Aiman dan adiknya berusia 8 tahun pulang ke rumah, selepas selesai bersolat. Kebetulan pada masa itu, saya tiada tugasan di showroom.

Perancangan Allah mengatasi segalanya. Abang saya yang kebetulan bertugas di showroom menghubungi saya, meminta saya menggantikan tempatnya kerana dia ada hal mustahak. Tanpa banyak soal, saya terus bersetuju dan perancangan untuk mengambil anak-anak saya terpaksa dibatalkan.

Dari jam 2.30 petang, saya sentiasa berdebar-debar tanpa mengetahui apa sebabnya. Dalam jam 5.30 petang, telefon berbunyi. Isteri saya rupanya. Tanpa mengesyaki apa-apa, saya jawab panggilannya.

“Bang! Jiran kita kata, anak kita, Akif jatuh kolam!”

Tangan saya menggigil tiba-tiba dan dada saya berdebar-debar.

“Dia okay tak?” soal saya semula.

“Tak tahulah bang, tapi ada orang dah hantar dia ke klinik,” jawab isteri.

“InshaAllah tak ada apa-apalah tu,” saya cuba menenangkan keadaan.

“Abang pergi tengok ye,” pesan isteri.

“Iyalah,” saya jawab dia dalam keadaan dengar tak dengar. Tetapi dalam hati hanya Allah saja yang tahu perasaan saya pada ketika itu. Rasa nak pitam pun ada.

Tanpa membuang masa, saya terus menghidupkan enjin motosikal dan terus pergi ke klinik di Nilai untuk melihat keadaan anak saya. Sampai saja di klinik, saya tengok ramai orang berkerumun. Saya mula rasa tak sedap hati tetapi tetap gagahkan diri juga untuk berjumpa dengan anak saya.

Salah seorang yang berkumpul, datang menghampiri saya dan bertanya adakah saya ayah kepada kanak-kanak yang terjatuh dalm kolam renang itu.

“Ye, saya ayahnya,”

Dia suruh saya bertenang dan bersabar dan saya dimaklumkan bahawa anak saya sudah tiada.

Terus saya rasa gelap macam nak pitam dan sesak nafas. Ada seorang abang itu bawa saya ke kerusi untuk menenangkan saya. Dia suruh saya duduk seketika. Saya rasa sangat kosong pada masa itu.

Selepas lima minit, saya terus bangun dan menuju ke stracher tempat mayat anak saya dibaringkan dengan ditutupi kain putih. Bila diselak, saya nampak wajah anak saya seolah-olah tersenyum saja. Subhanallah. Saya cium dahi arwah yang masih basah dan saya lihat seluruh badannya masih basah. Saya tak sanggup melihat dia kesejukan

Telefon berdering, isteri saya bertanya tentang keadaan anaknya. Ya Allah, saya memang tidak sampai hati nak beritahu yang anaknya sudah tiada.

“Dia tak ada apa-apa, doktor tengah periksa,” kata saya.

Saya terus menghubungi jiran saya dan beritahu dia agar pergi ke rumah saya dan bawa dua tiga orang jiran yang lain untuk memaklumkan kepada isteri bahawa anak kami sudah meninggal dunia. Saya juga sempat berpesan agar mereka bawakan kain batik sebab anak saya sejuk.

JUMAAT, 15 SEPTEMBER 2006

Sebelum solat Jumaat, jenazah arwah selamat sampai di rumah ayah saya di Rumah Rakyat Kampung Sawah, Port Dickson. Perkara yang paling mengharukan, sebaik saja jenazah diletakkan di ruang tamu, adiknya yang berusia 8 bulan merangkak untuk memeluk jenazah abangnya.

Arwah memang sangat rapat dengan adiknya. Part ini memang saya kalah, air mata saya mengalir tanpa henti melihat kejadian itu. Saya seboleh-bolehnya memang cuba sedaya upaya untuk menahan air mata ini dari tertumpah sebab saya perlu kuat menghadapi semua ini.

Selepas solat Jumaat, jenazah selamat dikebumikan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Malam itu kami adakan kenduri tahlil dan keesokkannya kami kembali ke rumah kami di Nilai.

Rupa-rupanya, segalanya bermula selepas kami berada di rumah sendiri. Perasaan rindu menerjah apabila melihat segala barang arwah di rumah. BAru saya tahu, inilah rupanya rasa ‘sabar’. Orang mungkin boleh menasihatkan kita sabar, tetapi orang yang diuji sahaja tahu bagaimana perasaan sabar itu.

Kepada yang pernah merasa kehilangan anak seperti kami, bertabahlah kerana kita adalah orang yang bertuah dipilih Allah untuk diuji. InshaAllah dia menunggu kita di sana.

Kepada anda yang masih mempunyai anak-anak kecil juga bertabahlah kerana anda juga sedang diuji dengan keletah dan kenakalan mereka yang adakalanya membuatkan kita hilang sabar.

Saya mohon, janganlah anak-anak ini dipukul atau dimarah kerana anda bertuah mereka masih ada bersama anda. Kalaulah boleh diundurkan apa yang saya nak cakap pada Akif,

“Abah minta maaf jika abah pernah marah atau terpukul Akif tanpa abah sengajakan. Abah nak Akif menjadi orang yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.”

Tapi saya tahu ianya tidak akan berlaku. Anda yang masih ada anak, sayangilah mereka kerana kita tidak tahu bila mereka akan meninggalkan kita. Sekian. – Halim Ali | The Reporter

SUKAKAN ARTIKEL INI? SHARE!!
LAYARIcite_heboh_3.png
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Sumber: citeheboh

–> Klik jika rasa post ini patut dibuang

Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih

You Might Also Like

0 comments

Online